Wednesday, 3 April 2019

Peristiwa Israk Mikraj

(Allahumma baariklana fii rajabin wa sya’baana wa ballighnaa ramadhaan) Maksudnya: “Ya Allah ya Tuhanku, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’aban dan sampaikan (Hidupkan) kami ke bulan (sehingga) Ramadhan”.

Alhamdulillah, kita dah pun dekat dengan bulan Sya’aban dan Ramadhan. Sepanjang bulan ni, memang kita selalu baca dan aaminn kan doa dekat atas ni.  Tapi dipenghujung bulan Rejab satu peristiwa yang besar dan bermakna buat seluruh umat islam iaitu israk mikraj telah berlaku.





Israk mikraj ialah perjalanan dan mukjizat agung yang dikurniakan oleh Allah kepada Rasulullah SA. Dalam perjalanan tersebut diperlihatkan kepada Baginda SAW pelbagai gambaran dan pemandangan dari alam penuh rahsia yang kesemuanya itu mengandungi pelbagai hikmah dan hakikat yang akhirnya bersangkut paut dengan apa yang berlaku di alam zahir ini dari urusan dan kehidupan para hamba.
Kenapa peristiwa ini sering diperingati pada setiap tahun, walaupun ramai yang dah tahu tentang kisah Israk Mikraj? Tujuannya  untuk memberikan peringatan kepada kita semua sebab dah menjadi tabi’ manusia sering kali lupa atau lalai dengan duniawi dan lupa tentang kekuasaan dan kebesaran Allah. Namun apakah hikmah yang ingin ditunjukkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya melalui peristiwa ‘special’ ini?

1 – Israk Mikraj Adalah Perjalanan Yang Nyata
Peristiwa Israk Mikraj ini merupakan perjalanan dan pengalaman Rasulullah s.a.w yang benar-benar terjadi dan, bukan hanya perjalanan rohani atau mimpi Baginda semata-mata. Dalam peristiwa ini, Rasulullah s.a.w mendapatkan perintah secara langsung tanpa perantara dalam suruhan mengerjakan solat lima waktu. Ini adalah bukti bahawa Israk Mikraj berbeza dengan penurunan wahyu-wahyu Allah yang lainnya.
Rasulullah juga mengalami perjalanan itu dalam keadaan sedar dan dengan sepenuh hati Baginda. Selepas peristiwa itu, Baginda segera menceritakan kepada para sahabat dan pengikut Baginda dengan ingatan yang sangat jelas.

2 – Tanda Kekuasaan Allah S.W.T
Peristiwa Israk Mikraj merupakan salah satu bukti dan tanda kekuasaan Allah s.w.t. Allah juga ingin menunjukkan betapa besarnya kekuasaan-Nya dengan menjadikan sebuah peristiwa yang boleh dianggap ganjil bahkan hal yang lebih hebat daripada itu.
Dengan kehendak Allah, boleh dilakukan apa-apa saja mengikut kehendak-Nya. Allah s.w.t dengan jelas telah menyatakan bahawa Israk Mikraj adalah bertujuan untuk memperlihatkan kekuasaan-Nya.
Firman Allah s..w.t;
“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”Surah al Israq:1

3 – Bentuk Kemuliaan Allah S.W.T Kepada Rasulullah S.A.W
Sebelum terjadinya peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah s.a.w menghadapi banyak ujian yang sangat berat, terutamanya tentangan hebat dalam usaha dakwah Baginda. Antaranya Baginda diusir dan ditolak oleh penduduk di kota Thaif.
Rasulullah s.a.w juga kehilangan dua orang yang penting, iaitu isteri kesayangan Baginda, Siti Khadijah dan bapa saudara yang banyak membantu iaitu Abu Thalib.
Oleh itu, Israk Mikraj merupakan hadiah dan sebuah pengganti dari apa yang telah Rasulullah s.a.w hadapi terutamanya pada tahun yang sama.

4 – Bukti Kerasulan Nabi Muhammad S.A.W
Israk Mikraj juga memperlihatkan sebahagian bukti akan kebesaran Allah selain bertujuan memantapkan dan mengukuhkan kerasulan Rasulullah s.a.w.
Selain itu Israk Mikraj juga diciptakan untuk memuliakan Rasulullah s.a.w sebagai seseorang yang dipilih oleh Allah s.w.t.
Peristiwa ini juga bertujuan mempersiapkan kekuatan jasad, jasmani, rohaniah, dan aqliah Rasulullah s.a.w dalam menjalankan tugas-tugas kenabian Baginda.

5 – Bukti Ajaran Rasulullah S.A.W Bersifat Menyeluruh
Peristiwa Israk atau perjalanan Rasulullah dari Masjidil Haram (Mekah) ke Masjidil Aqsa (Madinah), menunjukkan bahawa ajaran yang dibawa Rasulullah s.a.w bukan hanya untuk masyarakat Mekah sahaja tetapi agama kepada seluruh umat manusia yang ada di muka bumi.

6 – Perintah Didirikan Solat Lima Waktu
Peristiwa Mikraj atau perjalanan Rasulullah s.a.w ke Sidratul Muntaha adalah tempat berlakunya peristiwa Rasulullah menerima perintah Allah s.w.t untuk mengerjakan solat lima waktu sehari semalam.
Perintah ini adalah secara langsung diberikan oleh Allah kepada Baginda tanpa perantara.
Walaupun pada awalnya Allah s.w.t memerintahkan didirikan sebanyak 50 waktu, namun Rasulullah s.a.w memohon agar dikurangkan sehinggalah perintah solat menjadi lima waktu sehari semalam seperti hari ini.
Perintah solat lima waktu ini sangat dipegang erat oleh Rasulullah s.a.w dan Baginda sangat menitikberatkan kepada umat Baginda supaya tidak meninggalkan solat lima waktu kerana ianya adalah tiang agama Islam dan kunci diterima segala amalan di dunia.

7 – Pembersihan Hati untuk Menghadap Allah S.W.T
Diriwayatkan, sebelum peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah s.a.w telah ‘dibedah’ oleh malaikat bagi membersihkan jiwa Baginda dari dari sifat-sifat buruk seperti was-was.
Ini memberi gambaran kepada umat Islam bahawa sebelum menghadap Allah s.w.t dalam menjalankan ibadah, seharusnya membersihkan dulu jiwa dan hati dari segala sifat buruk.
Selain itu, segala amalan ibadat hendaklah disertai dengan niat yang betul dan ikhlas. Allah berfirman bahawa Islam itu bersih, maka bersihkanlah jiwa raga kerana sesungguhnya tidak akan masuk syurga kecuali orang-orang yang bersih.
Sungguh banyak hikmah yang dapat diambil oleh umat Islam sebagai iktibar daripada peristiwa ini.
Jadi sebagai umat Islam umumnya, dan pengikut Nabi Muhammad s.a.w khususnya haruslah kita jadikan peristiwa ini sebagai pangajaran utama dalam mengejar ibadah terutamanya dalam mendirikan solat lima waktu

Saya bukan ustazah. Tetapi sebagai insan yang sentiasa nak perbaiki akhlak jadi baik jom Kita sama-sama doakan diri Kita, suami, anak-anak, mak ayah, keluarga saudara, sahabat rakan taulan Dan semua saudara seagama mahupun berlainan agama menjadi insan yang baik akhlas budi pekerti seperti contoh tauladan sifat nabi Kita Muhammad SA.


www.noharyani.com

No comments:

Post a Comment